Tingkatkan Prestasi Bisnes – Formula 3S
Saya telah memulakan perniagaan Internet sejak tahun 2009. Pelbagai kenangan suka dan duka yang dialami sepanjang tempoh itu. Terlalu banyak yang saya pelajari dengan memerhati dan merenung perjalanan perniagaan saya dalam 3 tahun itu.
Dulu, di kala saya menceburi bisnes dropship di eBay, saya pernah menghadapi kerugian sehingga RM4,000. Tatkala itu saya tidak tahu kepada siapa harus saya minta pertolongan oleh sebab keuntungan yang sedia ada tidak melepasi kerugian yang saya hadapi.
Namun, saya bersyukur saya ada sahabat bisnes yang sangat membantu. Dia berpesan;
“Bukan kejayaan sahaja perlu dinikmati, kegagalan juga perlu dinikmati. Hadapi masalah dengan senyuman. Pasti tiap masalah ada penyelesaian”Apabila dia berkata begitu, hati saya kembali reda daripada kegelisahan memikirkan cara untuk menyelesaikan kerugian itu. Ini turut ditekankan dalam surah Al Insyirah ayat 5-6;
“Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan.”
Senyum, Tidak Perlu Kata Apa-apa
Senyum mampu mengubah emosi kita. Dalam bidang psikologi terdapat teori yang disebut ‘maklumbalas wajah’ (facial feedback). Hipotesis ini menegaskan bahawa ‘pergerakan wajah secara sendirinya menyediakan maklumat persekitaran yang lengkap untuk menentukan pengalaman emosi’.
Menurut Davis dan Palladino, ia bermaksud maklumbalas dari ekspresi wajah seseorang akan mempengaruhi emosi dan perlakuannya. Berdasarkan teori ini maka boleh disimpulkan bahawa mood seseorang boleh ditingkatkan dengan senyuman.
Apabila kita senyum, kita telah menyebarkan energi positif ke seluruh alam yang akan melipat kali gandakan perkara positif datang ke dalam hidup kita. Dalam dunia perniagaan, jika kita melakukan perniagaan offline, senyum sangat membantu untuk menarik pelanggan suka berbicara dengan kita.
Senyum adalah sedekah, senyum adalah pelaris jualan, senyum juga menunjukkan kemesraan. Walaupun seorang penjual itu tidak rupawan tetapi pasti pelanggan akan rasa senang hati apabila penjual itu melayannya dengan senyuman yang manis dan mesra. Ia akan membuatkan kita disenangi pelanggan.
Pernah suatu ketika, saya pergi ke Maybank untuk menyelesaikan satu urusan. Di kaunter, terdapat seorang kakak bertubuh sederhana sering tersenyum ketika melayan pelanggan. Walaupun dia tidak rupawan tetapi senyumannya menawan hati saya sehingga saya turut tersenyum apabila melihat dia senyum.
Syukur, Tadah Tangan Kepada Tuhan
Syukur adalah ‘booster’ kebahagiaan dan kejayaan seorang insan. Ia adalah tanda penghargaan seorang hamba kepada Sang Pencipta. Syukur tahap tertinggi bukan sahaja apabila memperoleh perkara positif tetapi juga apabila mendapat perkara negatif.Apa yang kita mahu tidak semestinya baik untuk kita sperti yang ditekankan dalam Al Quran;
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al Baqarah: 216)Walaupun saya telah lama berkecimpung dalam perniagaan Internet tetapi saya masih tidak mencapai sasaran yang saya impikan. Puas saya merenung mengapa ini berlaku, akhirnya saya mendapat hikmah di sebalik kegagalan yang saya hadapi.
Alhamdulillah kini saya mempunyai tim perniagaan internet yang sangat positif. Apabila saya melihat perkara ini, saya bersyukur Allah lambatkan kejayaan saya kerana Dia sebenarnya telah menyediakan sesuatu yang lebih baik.
Saya percaya, jemaah lebih baik daripada berseorangan. Dengan adanya tim seperti mereka, kejayaan sebuah perniagaan akan dapat dicapai dengan mudah dan cepat.
Sedekah, Jemput Rezeki Terus Daripada Tuhan
Memberi adalah kunci untuk menerima. Tanpa memberi kita tidak mempunyai hak untuk meminta dan akibatnya kita sukar untuk menerima. Memberi, meminta dan menerima ini adalah kunci kekayaan dan kejayaan dalam kehidupan.“Jika kita ingin konsisten menerima, kita harus konsisten memberi”Memberi bukan sahaja membuka jalan untuk kejayaan, malah memberi adalah sebuah pola fikir baru yang menjadi dasar kehidupan kita agar sentiasa berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain. Nikmatnya kita akan dapat 10 kali ganda daripada tiap harta yang kita kongsi.
Seandainya kita menunggu perniagaan kita maju terlebih dahulu untuk bersedekah, kita tidak akan pernah mempunyai kecukupan untuk bersedekah.
Orang yang mampu memberi adalah orang yang kaya. Mereka percaya pada hukum pembalasan 10 kali ganda dengan tiap rezeki yang mereka kongsi daripada perniagaan mereka.
Saya terinspirasi dengan kata-kata Puan Ainon ketika melawat kediaman beliau;
“Apabila kita banyak buat projek kebajikan, isu bisnes kita akan berkurangan”
Kata-kata inilah yang saya pegang yang memberi saya motivasi untuk berkongsi pendapatan yang saya peroleh daripada perniagaan saya. Hasilnya saya peroleh rezeki yang tidak putus-putus dan tidak disangka-sangka. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment