Tuesday, 3 December 2013

Usahawan Berjaya Tidak Memerlukan Pendidikan Formal?

Usahawan Berjaya Tidak Memerlukan Pendidikan Formal?



The Harvard Crimson menggelarkan beliau sebagai ‘Pelajar dropout yang paling berjaya di Harvard’. Manakala kebanyakan manusia di muka bumi ini sudah cukup mengenali jejaka berspek mata, dan kurang membazirkan masa dengan melepak ini sebagai individu terkaya di dunia, dengan memiliki aset sebanyak USD56 bilion pada tahun 2011.
bill gates - dropout yang berjaya
Ya, beliau adalah William Henry “Bill” Gates III, atau lebih mesra dengan panggilan Bill Gates. Jejaka yang lahir pada 28 Oktober 1955 ini merupakan pengasas syarikat Microsoft, yakni syarikat perisian komputer terkemuka di dunia.

Bagaimana pula di Malaysia? Khususnya orang Melayu yang beragama Islam? Adakah kita mempunyai individu yang memegang status seperti Bill Gates?
Sekiranya diukur dari segi jumlah aset, kita masih lagi jauh ketinggalan. Namun di Malaysia, nama Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary cukup dikenali sebagai anak Melayu yang mempunyai aset bernilai bilion ringgit.
Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary
Malah terdapat persamaan di antara mereka berdua. Persamaan yang menimbulkan konflik dalam masyarakat di seluruh dunia sehingga hari ini.
Kedua-dua individu ini tidak meneruskan pendidikan secara formal. Atau dalam bahasa mudahnya…
Dropout. (Tidak mempunyai sebarang ijazah pendidikan formal).

Kita Wajib Mencari Ilmu, Tetapi…

Perdebatan mengenai  isu individu yang tidak mempunyai kelulusan dari mana-mana universiti, tetapi mereka tetap berjaya mengubah dunia menjadi lebih baik menerusi bisnes dan sebagainya, adalah isu yang tidak akan tamat sehingga bila-bila.
Tetapi terdapat satu bukti kukuh yang dapat kita lihat di sini iaitu, ilmu itu tidak terhad pada kolej dan universiti.
Sebelum ini, minda kita ditekankan dengan slogan,
“Untuk berjaya, kita mesti belajar bersungguh-sungguh, kemudian masuk ke universiti yang bagus, dan carilah pekerjaan yang dapat menjamin masa hadapan.”
Tetapi sekiranya kita lihat situasi hari ini, slogan di atas sudah tidak relevan. Kerana ilmu itu sudah terbukti ada di mana-mana. Ia tidak terhad di institusi pengajian tinggi dan sebagainya. Kerana untuk berjaya, bukan jenis kerja yang menentukannya.
graduasi universiti
Jawapan yang sebenar adalah… Sejauh mana kita percaya terhadap kejayaan yang ingin kita kecapi.
Sebagai contoh, dalam kes Bill Gates, beliau mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang tinggi, di mana perisian yang beliau sedang usahakan ketika itu (Microsoft) mampu mengubah dunia menjadi lebih baik.
Berbekalkan kepercayaan itu, Bill Gates mengambil keputusan untuk berhenti belajar di institusi pengajian tinggi, dan tidak mempedulikan tohmahan atau cacian yang dikeluarkan oleh pihak universiti, rakan-rakan mahupun keluarga.
Ini bermakna, kejayaan itu terletak pada sejauh mana kepercayaan kita. Sekiranya kita percaya ijazah universiti dapat menjamin kejayaan, maka itu adalah ketetapan kita sendiri.

Ilmu Berharga – Belajar Daripada Pengalaman Sendiri

“Dunia ini adalah sekolah kita.” – Marin H. Fischer
Ayat di atas menerangkan betapa pentingnya belajar menerusi pengalaman sendiri. Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan.
pengalaman sendiri adalah ilmu yang paling berharga
Persoalannya adalah, berapa ramai di antara kita yang belajar daripada kesilapan yang dilakukan, kemudian berazam untuk tidak melakukan kesilapan yang sama di masa akan datang?
Adakah kedua-dua individu (Bill Gates dan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary) di atas berjaya dalam percubaan kali pertama?
Jawapannya, tidak.
Mereka belajar daripada kesilapan yang dilakukan berkali-kali. Dengan mempelajari sesuatu daripada kesilapan, minda mereka akan lebih arif dan matang untuk membuat keputusan yang lebih baik.

Jangan Berhenti Belajar Kerana Terdorong Dengan Cerita Mereka

Benar, ada yang mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana terdorong dengan kisah-kisah kejayaan mereka ini.
Mereka berkata ayat di bawah pada diri sendiri, sewaktu membuat keputusan;
“Bill Gates, Steve Jobs, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary boleh berjaya tanpa pendidikan formal, mesti aku juga boleh berjaya!”
Hakikatnya, meniru orang semata-mata tanpa mempunyai pelan perancangan yang kukuh adalah perkara yang sia-sia. Sekiranya kita berfikiran seperti ini, maka peluang untuk kita bangkit daripada kegagalan yang bakal menimpa adalah rendah.
steve jobs
Bahkan, kita berkemungkinan besar akan berputus asa… Kemudian menyesal dengan keputusan untuk berhenti belajar. Ketika itu, setiap satu daripada penyesalan kita adalah sia-sia, kerana masa tidak boleh berputar kembali.
Rezeki manusia juga berbeza. Tidak semua manusia dilahirkan untuk menjadi individu yang memegang ijazah institusi pengajian tinggi. Ada dalam kalangan mereka juga yang berjaya dalam karier mereka, selepas tamat pengajian tinggi.
Tetapi apa yang cuba ditekankan di sini adalah…

Pendidikan Formal Adalah Salah Satu Alternatif Usahawan

Adakah kita mesti dropout untuk berjaya sebagai seorang usahawan?
Jawapannya, tidak.
Meskipun pendapat sebahagian besar usahawan menyatakan kita mesti mengorbankan sesuatu yang berharga, untuk mencapai matlamat yang bermakna. Pendapat ini tidak terhad kepada memilih untuk tidak menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi.
Ia boleh dikaitkan dengan pengorbanan masa. Di mana pelajar itu harus mengorbankan masa untuk merancang bisnes mereka dengan lebih tersusun setiap hari, agar ia tidak mengganggu pelajaran mereka di kolej.

Fikir berkali-berkali terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang keputusan yang berisiko tinggi. Kerana ia bukan melibatkan diri kita sahaja. Ia akan melibatkan emosi keluarga kita, khususnya ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka memegang segulung ijazah.

No comments:

Post a Comment