Tuesday, 4 February 2014

PROSEDUR PENDAFTARAN SYARIKAT SDN BHD


=================
PROSES PENDAFTARAN
=================
*** PERINGKAT PERTAMA(1 HARI BEKERJA )
***

Permohonan Pencarian Nama:

Kelulusan perlu diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Nama Syarikat yang dicadangkan perlulah mendapat kelulusan sebelum proses lain dijalankan. Nama Syarikat baru yang dicadangkan hendaklah bersesuaian dan tidak terlalu ekstrim.

Tidak boleh menggunakan nama yang dikawal seperti penggunaan nama PUTERA, MAS, NEGERI, RAJA dan sebagainya. Digalakkan juga menggunakan lebih 2 atau 3 patah perkataan.

Sebagai contoh … SAS Resources Sdn. Bhd. Pihak SSM juga membenarkan penggunaan Bahasa Asing tetapi perlu mendefinisikan kedalam Bahasa Malaysia atau English. Sebagai contoh … Delizzio Sdn. Bhd

Setiap permohonan perlu dibayar akan yuran pemprosesan nama. Oleh yang demikian dinasihatkan berhati-hati dalam pencarian nama baru Syarikat supaya mengelakkan pembaziran wang dan juga masa. Untuk makluman pihak Syarikat dibenarkan mengubah nama Syarikat pada masa akan datang nama lain sekiranya perlu.

*****PERINGKAT KEDUA (7 HARI BEKERJA )*****

Pada peringkat ini, selepas kelulusan nama diperolehi dari pihak SSM, maka perlulah disediakan borang dan dokumen berkaitan sebelum pengeluaran Sijil Penubuhan Syarikat (Borang 9). Tempoh maksimum diberikan oleh SSM bagi melengkapkan dan menyerahsimpan dokumen berkaitan.

Antaranya :
1. Memorandum dan Artikel Syarikat (M & A). Merupakan Peraturan, Undang-undang dan Perlembagaan Syarikat. Antara pekara penting yang dinyatakan adalah :
Aktiviti utama Syarikat – Penyenaraian 3 aktiviti utama perniagaan

Jumlah Saham Dibenarkan dan Saham Dibayar (Authorised and Paid-up Capital)

Maklumat Pemegang Saham, Para Pengarah dan Setiausaha Syarikat Syarikat pertama

Sekatan terhadap jualan saham Syarikat

Ahli yang tidak melebihi 50 orang.

2. Borang 48A iaitu borang perlantikkan Pengarah dan Pemegang Saham – Merupakan borang pengistiharan dimana beliau tidak muflis dan tidak terbabit dan bersalah dalam kesalahan Akta Syarikat.



3. Borang 6 – Penyata Pematuhan
Kesemua borang dan dokumen yang berkaitan perlu disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah dan dimeterai dengan Duti Setem. Pada peringkat ini juga yuran pendaftaran Syarikat baru akan dibayar kepada SSM bagi membolehkan ianya diproses.

Selepas kesemua borang dan dokumen diproses dan diluluskan oleh SSM, maka Sijil Penubuhan Syarikat iaitu Borang 9 dikeluarkan. Kebiasaanya proses ini menbambil masa 1 atau 2 hari. Susulan dari itu terdapat beberapa dokumen yang perlu diserah simpan kepada pihak SSM.
Borang 24 – Merupakan Borang Maklumat Saham yang menerangkan akan Saham Dibenarkan dan Diterbitkan dan juga maklumat Pemegang Saham

Borang 44 – Merupakan dokumen yang menyatakan maklumat dan kedudukan Pejabat Berdaftar Syarikat

Borang 49 – Merupakan dokumen yang menyatakan maklumat Para Pengarah, Pengurus dan  

                      SetiausahaSyarikat.

PANDUAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN BARU(ENTERPRISE)



PANDUAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN BARU
Perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan,
pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksudmaksud
mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau
penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang
dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan
1956 (APP 1956).

Perniagaan yang boleh didaftarkan di bawah APP 1956
hanya perniagaan beroperasi di Malaysia Barat iaitu meliputi Semenanjung
Malaysia dan Wilayah Persekutuan dan bentuk perniagaan adalah seperti
berikut:
1. Perniagaan Milik Tunggal - perniagaan dimiliki sepenuhnya oleh
seorang pemilik.
2. Perniagaan Perkongsian - perniagaan dimiliki oleh sekurangkurangnya
dua (2) orang dan tidak melebihi daripada dua puluh (20) rakan
kongsi.

Prosedur Pendaftaran
1. Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama
    ‘Tred’.
    a) Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan
        tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan.
        Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy.
   b) Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu
       mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya
       Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu.
       Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise.

2. Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan
    mengisi maklumat seperti berikut :

    a) Nama perniagaan
    b) Tarikh permulaan perniagaan
    c) Alamat utama perniagaan
   d) Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
   e) Maklumat pemilik dan rakan kongsi
   f) Jenis perniagaan yang akan dijalankan
  g) Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)

3. Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan
    maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi.

4. Orang Yang Bertanggungjawab (OYB) iaitu pemilik atau rakan kongsi
    perlu mengemukakan permohonan di kaunter SSM atau secara online melalui perkhidmatan e-Lodgement     di laman web SSM di www.ssm.com.my.

5. Dokumen yang perlu dilampirkan:
   a) Salinan kad pengenalan pemilik/rakan kongsi;
  b) Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska
     (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej
     Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan);
  c) Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya
      diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan.

Syarat
1. Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas.
3. Perniagaan telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari
    dari tarikh permulaan perniagaan.
4. Jenis perniagaan yang didaftarkan tidak menyalahi undang-undang,
    tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman
    awam atau prinsip moral.

Fi Pendaftaran

1. Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di
    kad pengenalan – RM30.00
2. Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian
    menggunakan nama tred - RM60.00
3. Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.
4. Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.00

Panduan Am

1. Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1)
     tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
2. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu
   (1) jam dari waktu pembayaran dibuat.
3. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan
    perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta
    Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan
    denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak
    melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
4. Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit
    atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang
    berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun
    pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.



Monday, 16 December 2013

Ketahui Cara Melariskan Perniagaan Anda

Di Malaysia, menjelang bulan Disember, pelbagai jualan murah, jualan gudang, jualan rambang mata, jualan akhir tahun, jualan penghabisan stok dan pelbagai lagi terma mentakrifkan jualan sempena penghujung tahun akan diadakan.
Kerajaan Malaysia begitu memahami gaya hidup rakyat telah mewujudkan satu kempen khusus untuk rakyat yang menjadikan aktiviti beli-belah sebagai terapi stres atau berjimat cermat dalam membeli barang.
Jualan Akhir Tahun Malaysia atau dalam versi bahasa Inggerisnya, 1 Malaysia Year End Sale (1MYES) dianjurkan oleh Sekretariat ‘Shopping’ Malaysia, iaitu sebuah unit yang berada di bawah seliaan Tourism Malaysia. Relevannya sekretariat ini diselia oleh Tourism Malaysia bersangkut-paut dengan program Tahun Melawat Malaysia.
yes 2013
Selain daripada Jualan Akhir Tahun YES, terdapat dua lagi jualan besar-besaran di Malaysia iaitu 1Malaysia GP Sale bersempena Formula One Grand Prix di Kuala Lumpur dan Karnival Jualan Mega Malaysia.
Malangnya, Majalah Niaga tidak menjual sebarang produk, jadi kami tidak dapat menggunakan salah satu daripada terma-terma di atas. Namun, kami mahu menawarkan sesuatu yang lebih baik lagi. Bukan produk untuk dijual, bukan servis mahupun kursus, sebaliknya kami ingin ‘menjual’ pelaris semula jadi.
Apakah kaitannya pendahuluan artikel tentang jualan akhir tahun dengan pelaris? Ya, pelaris yang melariskan produk mahupun perkhidmatan para peniaga sepanjang masa. Tidak perlu tunggu jualan mega untuk menghabiskan stok. Sebaliknya, dengan izin Allah, pelaris ini mampu menjadi magnet penarik pembeli / pelanggan anda dengan sendirinya.
Jangan khuatir! Majalah Niaga sama sekali tidak bersekongkol dengan syaitan yang direjam. Pelaris ini tidak memerlukan pengeras, tuan, pewaris mahupun lain-lain perkara yang jelas bertentangan dengan hukum Allah.
zara h&m
Namun, untuk ‘memiliki’ pelaris ini, ada beberapa fasa yang perlu dilalui oleh mana-mana individu yang berminat untuk memilikinya. Pelaris ini tidak boleh di ‘muat-turun’ atau dipindah milik mahupun diwarisi. Ia sesuatu yang mungkin mengambil sejumlah masa dan tenaga, mungkin lama, mungkin juga boleh dimiliki dalam waktu yang singkat; bergantung kepada diri anda sendiri.

Pelaris Perniagaan Semula Jadi

#1 – ‘Bagaimana Jika Saya Berada di Tempat Mereka?’

Tidak di nafikan ada kalanya pelanggan diberi layanan kurang menyenangkan oleh peniaga. Pernahkah anda sebagai peniaga / usahawan pergi membeli-belah dan diberi layanan acuh tidak acuh oleh jurujual? Bagaimanakah perasaan anda? Tentu anda juga merasa tidak senang diberi layanan sebegitu rupa. Inilah caranya memahami pelanggan anda; letakkan diri anda di tempat mereka.
“If your marketing connects with them emotionally, they are going to remember it, share it, and buy it.” Christine Perkett (Penulis di FORBES)
Chrisitne Perkett sering mengingatkan para pengikut yang mempelajari skil pemasaran dengan beliau untuk sentiasa melayani pelanggan sebagaimana peniaga sendiri mahu dilayani.
Perasaan seperti ini ialah kehendak bersama. Apa yang buat anda fikir bahawa pelanggan tidak berhak mendapat layanan kelas pertama daripada anda, sedangkan anda juga menginginkan perkara yang sama ketika berkunjung ke kedai-kedai atau pusat beli-belah.

#2 – Kemahiran Sosial

kecewa
Istilah bahasa Melayu ialah berbasa-basi di takrifkan sebagai bersikap ramah dan berbual santai dengan orang yang belum dikenali.
Sebenarnya ramai peniaga sedar akan kepentingan kemahiran ini namun atas beberapa sebab seperti malas, tak ada masa nak bersembang dan sebagainya membuatkan ramai peniaga seperti singa lapar menanti mangsa masuk ke dalam sangkarnya.
Sikap tidak ramah dan keengganan berkomunikasi secara mesra dan santai memungkinkan pelanggan semakin menjauh daripada anda dan perniagaan yang di usahakan.
Contoh perbualan:
Ayat 1: Peniaga: “Kak Mah, apa khabar? Lama tak singgah di kedai? Pergi melancongkah?”
Ayat 2: Peniaga: “Ha, Kak Mah! Nak apa? Kalau sedikit sahaja barangnya, ambil sendiri ya?”.
Antara ayat 1 dan 2, yang mana satukah lebih mesra-telinga dan bernada mengalu-alukan? Gaya bahasa dan kemahiran berkomunikasi adalah elemen penting mengikat dan melariskan perniagaan.
Pernahkan anda singgah di mana-mana kedai makan yang makanannya biasa-biasa saja atau kedai runcit yang tidak menawarkan banyak pilihan barang mahupun kiosk atau lot kedai yang menjual barang-barang yang tinggi harganya namun tetap dikunjungi pelanggan saban waktu?
Tidak perlu berasa hairan, sebaliknya perhatikan sikap dan gaya peniaga atau jurujual di tempat-tempat tersebut. Mereka antara individu peniaga yang tidak lokek senyuman, tidak mudah mengeluh dan mesra-pelanggan.
SenyumMesra
Pelanggan lebih menghargai peniaga yang melayani mereka bak raja dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka walau pelanggan tidak melakukan sebarang transaksi jual-beli.
Walau bagaimanapun, elakkan berlebih-lebihan. Bercakap dan berbual tentang perkara-perkara yang relevan dengan situasi semasa pelanggan. Perlu ada kemahiran ‘mentafsir’ “mood” bakal pelanggan juga.
Jika pelanggan kelihatan tergesa-gesa, elakkan daripada perbualan yang meleret, sebaliknya berikan sapaan mesra dan bantu mempermudah urusan mereka.
Hasil kajian dua orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai ‘faktor-faktor yang menyebabkan pengguna cenderung mengunjungi pasaraya: satu kajian kes di Kajang, Selangor’, disertakan kajian tentang kepuasan pelanggan terhadap layanan pekerja.
Ironinya, pasar-pasar besar seperti Tesco, Giant, Carrefour/Aeon Big mendapat peratusan tahap kepuasan pelanggan yang rendah. Keselesaan ruang premis dan tawaran pelbagai pilihan barang bukan faktor utama penentu kepuasan pelanggan. Sebaliknya, layanan daripada pekerja atau kakitangan lebih dititikberatkan pelanggan.

#3 – Senyum

Bahasa badan yang menterjemah kemesraan iaitu senyum. Namun, aspek ini sering dipandang enteng sebahagian peniaga dan usahawan. Pelaris perniagaan paling mudah dan tidak memerlukan sebarang kos melainkan gerakan otot muka.
Senyum suatu bentuk komunikasi bukan verbal yang mampu beri impak yang besar terhadap emosi pelanggan. Rata-rata pelanggan lebih suka akan peniaga yang mampu tersenyum walau di saat premisnya dikunjungi begitu ramai orang.
Senyuman yang diukir untuk setiap pelanggan lambang penghargaan secara peribadi, khusus untuk setiap seorang pelanggan yang menemui peniaga tersebut.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan sebagai manusia biasa, ada kala peniaga akan berasa sedikit hampa apabila senyuman tulus tidak berbalas. Pantas ingatkan diri, bahawa apa saja yang anda lakukan untuk pelanggan, adalah untuk memberi kepuasan dan keselesaan kepada pelanggan, bukan mengharapkan balasan.
Perlu diingat bahawa tanggapan pertama (first impression) selalunya memberi impak jangka panjang kepada memori pengguna / pembeli dan tanggapan pertama itulah yang akan di ingat oleh pelanggan sampai bila-bila.
senyuman

#4 – Sentiasa Dengar Maklumbalas Pelanggan

Prihatin terhadap kepuasan pelanggan dengan menjadi pendengar yang baik. Mendengar secara terus mahupun menjalankan beberapa kaedah seperti tinjauan (survey) secara rawak atau menyediakan ruang khas untuk pelanggan meninggalkan testimoni.
Elakkan mendengar sambil lewa iaitu sekadar mengangguk-angguk dan menunjukkan hubungan mata belum tentu membuahkan rasa yakin pelanggan bahawa keluhannya di ambil peduli. Usahakan mencatat apa yang di beritahu pelanggan atau sediakan borang komplen dan tawarkan kepada pelanggan sekiranya ada perkara yang tidak memuaskan hati mereka.
Selain itu, kaedah-kaedah berikut juga boleh di aplikasikan dengan tujuan mengumpul maklumat kepuasan pelanggan iaitu:
  • Tinjauan
  • Kumpulan Fokus
  • Pemerhatian
  • Khidmat Pelanggan
  • Media Sosial
  • E-mel

#5 – Tindakan Susulan

Ambil inisiatif menggembirakan pelanggan dengan tindakan susulan. Sekiranya produk anda berkaitan servis, produk kesihatan atau keperluan asas lain seperti pakaian, tawarkan nombor ‘hotline’ premis atau syarikat anda.
Tindakan susulan merupakan satu isyarat peniaga benar-benar serius ambil berat akan kepuasan pelanggan-pelanggannya, apatah lagi buat pelanggan tetap kepada peniaga tersebut. Hubungi mereka selepas beberapa hari mereka membeli atau menggunakan produk anda.
layanan pelanggan
Bagi pengusaha yang mempunyai jumlah pelanggan yang ramai, gunakan kemudahan teknologi seperti SMS, e-mel dan media sosial untuk bertanyakan sebarang maklum balas daripada pelanggan anda.
Tawarkan jaminan pemulangan atau penukaran barang dan servis sekiranya berlaku kerosakan terhadap produk. Bantu pelanggan sekiranya mereka berdepan kesulitan menggunakan produk dengan betul
Sentiasa ulang tanya dan pastikan pelanggan tahu anda bersedia membantu mereka pada bila-bila masa.

‘Bersahabat’lah Dengan Pelanggan Anda

Keteguhan sesebuah perusahaan terutamanya yang berkaitan dengan produk fizikal dan servis secara dasarnya bergantung pada sejauh mana peniaga itu dapat mempertahankan pelanggannya.
Dalam iklim perniagaan yang semakin berkembang pesat, layanan terhadap pelanggan merupakan aspek penting dalam memastikan konsistensi perniagaan selain kualiti dan harga produk yang menarik.
Sentiasa berusaha menjalinkan hubungan dua hala peniaga-pelanggan yang akrab umpama sahabat baik. Sentiasa berfikiran kritis dan kreatif dalam menawarkan kelainan layanan perniagaan terhadap pelanggan anda.
Beri apa yang belum diperoleh pelanggan anda di premis perniagaan yang pernah mereka kunjungi. Untuk mengetahuinya, ketika inilah aspek berbual-bual dan tinjauan rawak memainkan peranannya. Mungkin peniaga boleh memberi hadiah kecil kepada pelanggan tetap, pelanggan baru mahupun pelanggan yang tidak berpuas hati dengan produk dan servis anda. Pelanggan akan berasa dihargai dan cuba untuk mencari sisi positif dan bermanfaat daripada perusahaan dan khidmat yang anda tawarkan.

Wednesday, 11 December 2013

Tingkatkan Prestasi Bisnes


Tingkatkan Prestasi Bisnes – Formula 3S



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah ke hadrat Ilahi yang memberi peluang kepada saya untuk berkongsi penulisan di blog Majalah Niaga. Terima kasih kepada Majalah Niaga yang memberi peluang pada saya untuk berkongsi artikel di sini.
Saya telah memulakan perniagaan Internet sejak tahun 2009. Pelbagai kenangan suka dan duka yang dialami sepanjang tempoh itu. Terlalu banyak yang saya pelajari dengan memerhati dan merenung perjalanan perniagaan saya dalam 3 tahun itu.
Dulu, di kala saya menceburi bisnes dropship di eBay, saya pernah menghadapi kerugian sehingga RM4,000. Tatkala itu saya tidak tahu kepada siapa harus saya minta pertolongan oleh sebab keuntungan yang sedia ada tidak melepasi kerugian yang saya hadapi.
Namun, saya bersyukur saya ada sahabat bisnes yang sangat membantu. Dia berpesan;
“Bukan kejayaan sahaja perlu dinikmati, kegagalan juga perlu dinikmati. Hadapi masalah dengan senyuman. Pasti tiap masalah ada penyelesaian”
Apabila dia berkata begitu, hati saya kembali reda daripada kegelisahan memikirkan cara untuk menyelesaikan kerugian itu. Ini turut ditekankan dalam surah Al Insyirah ayat 5-6;
“Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan.”

Senyum, Tidak Perlu Kata Apa-apa

tingkatkan-prestasi-bisnes
Senyum mampu mengubah emosi kita. Dalam bidang psikologi terdapat teori yang disebut ‘maklumbalas wajah’ (facial feedback). Hipotesis ini menegaskan bahawa ‘pergerakan wajah secara sendirinya menyediakan maklumat persekitaran yang lengkap untuk menentukan pengalaman emosi’.
Menurut Davis dan Palladino, ia bermaksud maklumbalas dari ekspresi wajah seseorang akan mempengaruhi emosi dan perlakuannya. Berdasarkan teori ini maka boleh disimpulkan bahawa mood seseorang boleh ditingkatkan dengan senyuman.
Apabila kita senyum, kita telah menyebarkan energi positif ke seluruh alam yang akan melipat kali gandakan perkara positif datang ke dalam hidup kita. Dalam dunia perniagaan, jika kita melakukan perniagaan offline, senyum sangat membantu untuk menarik pelanggan suka berbicara dengan kita.
Senyum adalah sedekah, senyum adalah pelaris jualan, senyum juga menunjukkan kemesraan. Walaupun seorang penjual itu tidak rupawan tetapi pasti pelanggan akan rasa senang hati apabila penjual itu melayannya dengan senyuman yang manis dan mesra. Ia akan membuatkan kita disenangi pelanggan.
Pernah suatu ketika, saya pergi ke Maybank untuk menyelesaikan satu urusan. Di kaunter, terdapat seorang kakak bertubuh sederhana sering tersenyum ketika melayan pelanggan. Walaupun dia tidak rupawan tetapi senyumannya menawan hati saya sehingga saya turut tersenyum apabila melihat dia senyum.

Syukur, Tadah Tangan Kepada Tuhan

Syukur adalah ‘booster’ kebahagiaan dan kejayaan seorang insan. Ia adalah tanda penghargaan seorang hamba kepada Sang Pencipta. Syukur tahap tertinggi bukan sahaja apabila memperoleh perkara positif tetapi  juga apabila mendapat perkara negatif.
Apa yang kita mahu tidak semestinya baik untuk kita sperti yang ditekankan dalam Al Quran;
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al Baqarah: 216)
Walaupun saya telah lama berkecimpung dalam perniagaan Internet tetapi saya masih tidak mencapai sasaran yang saya impikan. Puas saya merenung mengapa ini berlaku, akhirnya saya mendapat hikmah di sebalik kegagalan yang saya hadapi.
Alhamdulillah kini saya mempunyai tim perniagaan internet yang sangat positif. Apabila saya melihat perkara ini, saya bersyukur Allah lambatkan kejayaan saya kerana Dia sebenarnya telah menyediakan sesuatu yang lebih baik.
Saya percaya, jemaah lebih baik daripada berseorangan. Dengan adanya tim seperti mereka, kejayaan sebuah perniagaan akan dapat dicapai dengan mudah dan cepat.

Sedekah, Jemput Rezeki Terus Daripada Tuhan

Memberi adalah kunci untuk menerima. Tanpa memberi kita tidak mempunyai hak untuk meminta dan akibatnya kita sukar untuk menerima. Memberi, meminta dan menerima ini adalah kunci kekayaan dan kejayaan dalam kehidupan.
“Jika kita ingin konsisten menerima, kita harus konsisten memberi”
Memberi bukan sahaja membuka jalan untuk kejayaan, malah memberi adalah sebuah pola fikir baru yang menjadi dasar kehidupan kita agar sentiasa berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain. Nikmatnya kita akan dapat 10 kali ganda daripada tiap harta yang kita kongsi.
Seandainya kita menunggu perniagaan kita maju terlebih dahulu untuk bersedekah, kita tidak akan pernah mempunyai kecukupan untuk bersedekah.
Orang yang mampu memberi adalah orang yang kaya. Mereka percaya pada hukum pembalasan 10 kali ganda dengan tiap rezeki yang mereka kongsi daripada perniagaan mereka.
Saya terinspirasi dengan kata-kata Puan Ainon ketika melawat kediaman beliau;
“Apabila kita banyak buat projek kebajikan, isu bisnes kita akan berkurangan”

Kata-kata inilah yang saya pegang yang memberi saya motivasi untuk berkongsi pendapatan yang saya peroleh daripada perniagaan saya. Hasilnya saya peroleh rezeki yang tidak putus-putus dan tidak disangka-sangka. Alhamdulillah.

Tuesday, 3 December 2013

Cara Mudah Menghargai & Dihargai Pelanggan

5 Tip Super Berkesan – Cara Mudah Menghargai & Dihargai Pelanggan



“Manusia sememangnya suka dihargai..”
Siapa yang tidak suka apabila diri kita diberi perhatian. Ia merupakan prinsip terpenting dalam setiap perkara. Anak-anak suka dihargai oleh ibunya. Ibu pula suka dihargai oleh anaknya. Suami juga suka dihargai oleh isterinya.
Beza Budaya
Begitu juga dalam bisnes, pelanggan juga amat suka apabila dihargai peniaga. Pekerja juga suka apabila dihargai majikan. Penghargaan juga adalah salah satu cara untuk bersyukur.
Namun, prinsip memberikan penghargaan kian pudar dilaksanakan dalam perniagaan dari hari ke hari. Ia terbukti dalam firman Allah,
“Sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Surah Saba: 13)
Sedikit sekali orang yang menerapkan penghargaan dalam segenap kehidupannya. Oleh sebab itu, adalah penting, kita mula menerapkan penghargaan dalam bisnes.
Berikut antara 5 tips yang boleh anda guna pakai untuk menghargai para pelanggan anda:

#1 Sentiasa Ucapkan Terima Kasih

Walau ucapan terima kasih hanya ada 2 perkataan, ia tersirat penghargaan dari hati yang terdalam. Di samping itu, ucapan terima kasih mampu menjadi pelonjak semangat untuk para pekerja terus berkhidmat.
berjabat tangan
Kita boleh lihat pada pekerja yang membuka pintu di ruang utama di sebuah hotel. Ia bukanlah perkara yang mudah untuk mereka berdiri di depan pintu selama beberapa jam. Malah, ia adalah pekerjaan yang memenatkan.
Pasti mereka berasa dihargai apabila kita ucapkan terima kasih kepada mereka. Terutamanya jurutera kesihatan yang membungkus sampah dan mengemaskan pejabat kita. Ucapan terima kasih mampu menjadi penaik semangat kepada mereka untuk terus bekerja, kerana khidmat mereka dihargai majikan.
Oleh sebab itu, sebarkan ucapan terima kasih kepada pelanggan yang sudi berurusan dengan kita, di samping pekerja yang sudi berkhidmat untuk uruskan bisnes kita.

#2 Sentiasa Murah Senyuman

“Smile change the beast to a prince.”
Itu adalah pepatah yang saya rumuskan. Ketika saya berkunjung ke pejabat Maybank untuk urusan peribadi, saya tertarik dengan seorang pekerja wanita bersaiz sederhana. Saya perhatikan cara beliau melayan pelanggan di kaunter.
Dana Ilmu
Walaupun beliau tidak rupawan, tetapi senyuman beliau sungguh menawan. Senyuman beliau buat saya mahu berurusan dengannya. Ia adalah akhlak bisnes berTuhan yang menerapkan penghargaan kepada orang lain.
Walau dalam situasi bagaimanapun, senyuman adalah penawar duka yang mampu menarik pelanggan. Hatta pelanggan tidak nampak kita, mereka pasti dapat mendengar daripada intonasi suara kita, apabila kita bercakap dengan mereka. Ia adalah kerana, apabila kita senyum, intonasi suara kita juga akan berubah, menjadi suara yang menceriakan.
Oleh sebab itu, adalah penting menjadi usahawan yang murah senyuman walaupun kita sedang bercakap dalam telefon, apetah lagi ketika berususan di depan pelanggan.

#3 Sentiasa Memberi Pujian

“Manusia suka dihargai dan dipuji.”
Saya pernah melihat satu video. Dalam video itu ada seorang lelaki yang suka memuji orang. Sebab utama mereka datang kepada beliau, adalah kerana ingin mendapatkan pujian daripada beliau. Mereka adalah golongan yang mempunyai keyakinan yang rendah, sentiasa dalam keadaan tertekan.
Namun, apabila mendapat pujian daripada beliau, keyakinan diri mereka meningkat. Mereka kembali ceria dan bertenaga setelah dipuji oleh individu itu. Ia menunjukkan, manusia suka apabila mereka dihargai dan dipuji.
Ia ibarat pengiktirafan daripada orang lain mengenai kebolehan kita. Contoh, majikan kita memuji bakat kepimpinan kita di hadapan kawan-kawan beliau, selama menguruskan syarikat beliau. Pasti kita merasakan diri kita mendapat penghormatan, daripada beliau terhadap kepimpinan kita. Ia akan meningkatkan keyakinan dalam diri kita untuk terus berkhidmat.
Oleh sebab itu, galakkan memberi pujian kepada pelanggan, pekerja dan sesiapa sahaja individu, yang membantu pengurusan bisnes kita.

#4 Sentiasa Bersyukur 

Apabila kita mula melibatkan diri dengan perniagaan, risiko adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan. Contoh, pendapatan yang kita peroleh tidak tetap. Adakalanya meningkat, adakalanya merundum.
sentiasa bersyukur
Saat pendapatan kita meningkat, hanya senyuman menjadi teman. Namun, ia berbeza apabila pendapatan kita mula merudum. Kita mula tidak tentu hala. Tekanan mula meresepi diri. Di kala itu, derasan rungutan bercambah dalam tiap bicara.
Ada orang yang peroleh RM10 tiap hari dan bersyukur, buat mereka peroleh RM100 tiap hari. Sebaliknya, ada orang yang peroleh RM100 tiap hari dan tidak bersyukur, buat mereka peroleh RM10 tiap hari.
Itulah kuasa bersyukur, ia ditekankan dalam firman Allah,
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu” (Surah Ibrahim: 7)
Semakin kita bersyukur dengan pendapatan yang Allah beri, semakin meningkat pendapatan yang kita jana.

#5 Sentiasa Meraikan Diri, Pelanggan Dan Pekerja

Adakalanya kita lupa untuk meraikan diri sendiri setelah bekerja keras untuk bisnes kita. Tanpa sedar, sudah bertahun kita tidak bercuti untuk memberi diri peluang, untuk berhibur dan berehat daripada perniagaan untuk seketika. Kita tidak memberi masa kepada diri untuk berehat.
menghargai pelanggan
Untuk meraikan diri dan pekerja, kita boleh tetapkan satu masa untuk kita bercuti ke tempat yang santai, dan menenangkan. Kita raikan segala kerja keras dan kejayan yang syarikat kita telah capai bersama pekerja kita. Ia akan meningkatkan momentum pekerja untuk setia berkhidmat dalam syarikat kita.
Bagi meraikan pelanggan, kita boleh mengadakan kupon diskaun, dan menganjurkan pertandingan dengan hadiah menarik. Di samping itu, digalakkan memberi hadiah istimewa kepada pelanggan setia yang sudah berurusan dengan kita dalam tempoh yang lama. Ini akan menguatkan hubungan usahawan dan pelanggan.

“Untuk dihargai, kita perlu belajar untuk menghargai..”
Dengan mengamalkan 5 tips memberikan penghargaan kepada para pelanggan anda, InsyaAllah, mereka rela menjadi pelanggan produk dan servis kita berkali-kali, kerana penghargaan yang kita beri kepada mereka.
Begitulah antara kelebihan jika kita memberikan penghargaan kepada para pelanggan kita. Kita bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, perniagaan kita juga akan lebih maju pada masa depan setelah kita dihargai para pelanggan kita hasil daripada sikap kita menghargai mereka tanpa jemu.